ANALISIS NOVEL
Dalam novel Harga Sebuah Maruah
karya Azizi Haji Abdullah ini,kami memilih untuk menganalisis watak Cah yang dianggap sebagai watak utama dalam
novel ini.Cah yang tidak bersetuju tapak sawahnya diambil oleh pihak berkuasa atas alasan pembangunan.Cah
merupakan salah seorang daripada penduduk Kampung Kertau yang sudah berusia
berdasarkan umurnya yang telah pun menghampiri 60 tahun.
“...Memang pun Cah sedar dia
sudah tua. Sudah hampir 60 tahun. Tetapi Cah masih mampu mengerjakan sawah tiga
relung tanpa upah yang bukan-bukan. Cah sedar dia tidak seperti orang lain.
Tiga relung apalah sangat. Menabur dan kini menyerak boleh dilakukan seorang
diri. Cabut rumput, menyembur racun juga boleh seorang diri. Lainlah kalau
putar jerami atau menuai pakai jentera...”(Azizi Haji Abdullah, 2007: 8 )
Cah juga merupakan seorang balu
di mana suaminya iaitu Kasim telahpun meninggal 20 tahun yang lepas.
“...Rumah pusaka peninggalan
Kasim suaminya yang sudah meninggal 20 tahun yang lalu itu bukanlah besar
sangat. Sama seperti rumah-rumah kampung di situ. Ada tiga bilik, berdinding
papan dan beratap zink sahaja. Masih bertiang walaupun sudah banyak jiran
meroboh dan mendirikannya atas tanah tanpa tiang lagi...”(Azizi Haji Abdullah,
2007: 19 )
Cah mempunyai 2 orang lelaki yang
bernama Hijrah dan Sulaiman. Hijrah merupakan adik kepada Sulaiman. Hijrah
tinggal di Kampung Kertau bersama Cah manakala Sulaiman pula sudah pun menetap
dan bekerja di Kuala Lumpur.
“...Sekali lagi Hijrah tiada di
rumah. Tetapi Cah sedikit pun tidak risau ketiadaan Hijrah. Dia tahu anaknya
bukanlah daripada golongan merapu tak ketahuan hala. Habis sangat di rumah Pak
Kasim. Cah tahu Hijrah sedang angau pada Habibah..” (Azizi Haji Abdullah, 2007:
48 )
5.0
PLOT NOVEL HARGA SEBUAH MARUAH
Dalam
kajian novel setiap cerita yang konvesional ada permulaan dan akhirannya.
Antara permulaan dan akhiran itu terdapat peristiwa yang merantai, dijalin
saling jerait-menjerait berdasarkan pada hukum sebab akibat yang munasabah, dan
inilah yang dikatakan plot. Justeru struktur penjalinan plot itu bertunjangkan
pada hukum sebab akibat, maka plot tidak hanya mengemukakan peristiwa yang
berlaku, malah yang lebih penting lagi ialah menerangkan mengapa sesuatu
peristiwa itu boleh berlaku. Wujudnya jalinan peristiwa yang saling
jeriat-menjerait itu lazimnya digerakan oleh watak, bertolak dari satu
peristiwa yang kemudiannya mempunyai hubungan yang logis lalu berkembang
menjurus menemukan suatu peleraian pada bahagian akhir cerita.
Dan
kerap kali pula tahap penceritaannya bersifat tradisional atau konvensional itu
harus dimulakan dengan pendedahan (exposition), konflik dan peleraian
(denouement). Pada bahagian pendedahan atau permulaan cerita, pengarang
memperkenalkan suatu situasi di mana watak berhadapan dengan masalah. Hal ini
berlaku akibat dari hubungan antara watak itu sehingga menimbulkan konflik
batin watak itu sendiri ataupun konflik lahir di mana watak saling berhadapan
dengan beberapa fenomena persekitarannya, baik terhadap watak individu,
kelompok alam raya mahupun takdir yang menentukan nasib mereka. Semua konflik
itu berbaur dan menjadi kerumitan (complication) lalu menemukan tegangan
(suspense) yang mencabar untuk mencapai puncak (climax).
Dan
dari puncak ketegangan itu, cerita mula memasuki tahap pengakhiran di mana
segala pertikaian dan perumitan menemukan peleraian. Peleraian boleh sahaja
positif atau negatif kerana ia sebagai pemecahan terhadap segala permasalahan
yang berbangkit.
Pengkajian
kami terhadap Novel Harga Sebuah Maruah karya Azizi Haji Abdullah
memperlihatkan struktur jalinan plot yang mudah dan dipadankan pula dengan tema
atau persoalan yang ringan dan mentah tentang rasa cinta golongan muda terhadap
tanah warisan, luahan emosi petani sawah, semangat berkobar-kobar untuk
mempertahankan tanah warisan daripada dirampas kerajaan, keluhan dan protes
masyarakat terhadap undang-undang tanah, dan memaparkan kehidupan masyarakat
yang sederhana sekali.
Novel
ini mencernakan pemikiran penulis dan pengalaman pengarang yang dilahirkan dan
dibesarkan dalam kalangan masyarakat pesawah. Kisah realiti pengarang yang
diangkat serta dikembangkan dari kisah yang dinukilkan menerusi karya ini.
Pelukisan watak yang mantap menjadikan plot bergerak seiringan dalam landasan
penceritaan, plot juga berlangsung mengikut kronologi dari satu titik peristiwa
ke titik perkembangan cerita yang lain.
Secara
ringkasnya karya ini menceritakan semangat desa dan perit jerih Cah watak
seorang balu berumur 50an yang beranak dua, mempertahankan tanah warisannya
daripada dirampas oleh kerajaan bagi melaksanakan projek kolam udang. Sikap
anaknya yang kontra dangan prinsipnya dalam memperjuang dan mempertahankan
tanah bendang yang dianggapnya umpama maruah bagi hidupnya dan sumber rezeki
utama selama puluhan tahun dalam membesarkan anak-anaknya telah menjadi
halangan baginya.
Sikap anak sulangnya Sulaiman yang tidak
menghargai pengorbanan tanah sawah dan cenderung terhadap kebendaan telah
menyakiti batin Cah untuk mempertahan maruah tanah warisannya. Sebaliknya
berbeza dengan sikap anak keduanya Hijrah yang sangat sayangkan tanah sawah
warisan nenek moyangnya.
5.1
PENDEDAHAN / PERMULAAN CERITA
Paparan
pada permulaan novel memperlihatkan kemunculan watak Derani (Pengerusi JKK) sebagai
penyumbang konfik kepada Cah dimana satu peristiwa perhimpunan di balai raya
yang menyaksikan Derani telah membawa En. Taha pegawai daripada pihak berkuasa
bagi menerangkan tanah bendang pesawah di Kg. Kertau akan dibeli dan diberi
pampasan oleh kerajaan bagi tujuan pembangunan projek kolam udang. Contoh
petikan novel :
“Perhimpunan kita petang ni saya
rasa penting untuk kita ketahui semua,” kata Derani sambil membuka fail di atas
meja. Bersama-sama saya Encik Taha, pegawai daripada pihak berkuasa. Saya ingin
maklumkan, kita akan mendapat tuah yang tidak pernah kita duga selama ini.
Percayalah, apa-apa yang saya nak beritahu ini pasti mendapat persetujuan
semua. Saya harap tidak ada yang menolak
kerana jika kita menolak bererti kita menolak tuah......
“Pampasannya bukan seribu dua tapi
puluh ribu. Sawah kita akan dibangunkan kita patut bangga! Kata Derani lagi.
Matanya mencalik ke sana sini untuk mendapat persetujuan.
“Derani kami nak makan apa lepas
ni?” Tiba-tiba Cah bangun. (Halaman 23-24)
Pemakluman
maklumat tersebut telah membawa konflik yang besar kepada para petani di Kg.
Kertau. Ada sebilangan petani menentang keras terhadap projek yang bakal
dilaksanakan itu. Orang kampung seperti Cah, Azmi, Leha, Habibah dan yang
lain-lain tidak bersetuju dengan cadangan tersebut, sejurus kemudian mereka
perlahan keluar dari balai raya meninggalkan Pengerusi JKK dan pegawai pihak
berkuasa tersebut.
5.2
PERTENGAHAN NOVEL
Dalam
novel ini juga pengarang menceritakan bagaimana perjuangan orang kampung
ditunjukkan melalui tindakan-tindakan oleh Hijrah beserta segelintir orang
kampung yang berani menunjukkan penentangan mereka secara terang-terangan.
Contoh petikan novel :
“Aku tak peduli tanah siapa pun.
Tapi aku beri pilihan, mati atau pergi dari sini!” jerkah Hijrah.Kedua-dua
drebar lori itu berundur selangkah demi selangkah. Berkeras dengan orang gila,
buruk padanya. Bukan masa bersoal jawab. Lebih baik berundur untuk
menyelamatkan diri.Hijrah melepas geram
sekali lagi. Diayunnya parangnya ke dinding besi lori yan mula bergerak itu.
Bunyinya melengking-lengking sampai terpencik bunga api daripada mata
parangnya. Lori itu pun memecut kasar.”(Halaman 148-149)
“Hijrah ada. Kami nak bawanya ke
balai,” kata seorang yang berpangkat bunga lawang di atas bahu. Malam yang
hanya disimbah cahaya lampu jalan, tidak dapat dipastikan siapa sebenarnya
mereka. Cah Cuma pasti pakaian sahaja.“Apa halnya anak saya?”Cah berasa sangsi,
tetepi tidaklah sebimbang seperti hukuman potong kepala.“Kami perlu menahannya.
Pagi tadi dia cuba mengancam drebar lori bawa tanah merah,” kata pegawai itu
lagi. (Halaman 153)
5.3
KONFLIK / KETEGANGAN
Tanah
sawah Pak Kasim telah berjaya diduduki oleh pihak berkuasa melalui persetujuan
Pak Kasim secara tidak segaja, oleh yang demikian tanah sawahnya menjadi lokasi
pertama penurunan tanah merah bagi membuat kolam udang. Pencerobohan ke atas
tanah Pak Kasim menjadi kesengsaraan bagi Pak Kasim sendiri. Malah Pak Kasim
tidak dapat berbuat apa-apa sehinggakan Hijrah terpaksa campur tangan bagi
menghilangkan penderitaan Pak Kasim.
Ekoran
penentangan yang dilakukan secara terangan oleh Hijrah bagi menunjukan protes
terhadap pencerobahan di tanah sawah Pak Kasim, dia telah ditahan dalam lokap
untuk ditahan reman. Akibat daripada peristiwa tersebut Cah dan pesawah di Kg.
Kertau telah mendapat suntikan semangat untuk memperjuangkan tanah sawah
mereka. Perbincangan secara rahsia telah dijalan atas inisiatif Cah dan Azmi
bagi menyelasaikan dan menyelamatkan tanah mereka daripada dirampas kerajaan.
Selain
itu, Azizi Haji Abdullah juga menceritakan bagaimana tindak balas yang
dilakukan oleh Derani dalam memujuk orang kampung supaya menerima tawaran
tersebut dan kepulangan Sulaiman yang menunjukkan ketidakpuasan hatinya
terhadap penentangan yang dilakukan oleh Cah dan Hijrah.Hijrah telah mendapat
kesedaran dan berazam sedaya upayanya memperjuangkan tanah sawah milik emaknya.
Kebangkitan Hijrah dalam mempertahan tanah sawah emaknya telah mendapat
keyakinan daan sokongan daripada segelintir pesawah lain.Contoh petikan novel :
“Saya tak mahu cakap panjang. Malam ini,
bersama-sama saya, Pak Ngah Musa. Saya dengan Pak Ngah Musa diamanah.
Bersama-sama kami ada cek-cek yang akan diberi sebagai pendahuluan. Tak banyak,
Cuma RM 5,000 dahulu. Tuan-tuan boleh ambil dan tukar di bank sebagai
persetujuan awal,” kata Derani sambil menjeling kepada Hijrah yang sudah
mengalih silanya.“Saya tidak sangka kawan-kawan semua tak ada maruah. Saya tak
sangka tuan iman sendiri jadi macam ni! Tuan-tuan tahukah, RM 5,000 hangus di
pasar malam begitu saja. Tapi sawah tuan-tuan, mana nak cari?”“Hijrah!” Derani
menempik agak kuat. “Ini baru pendahuluan. Abang kau sendiri dah ambil 10
ribu!”(Halaman 236-237)
Konflik
antara Cah dengan anaknya Sulaiman yang mana membawa ketegangan dalam bentuk
perasaan dan emosi watak. Sulaiman telah memberikan tekanan kepada Cah supaya
ibunya itu menjual sahaja tanah sawah milik ibunya itu dan dia juga memberi
jaminan akan menjaga dan menghantarnya ibu ke Mekah untuk mengerjakan haji
hasil duit pampasan tanah tersebut.Konflik petani seperti Razak, Haji Zakaria,
dan Ridwan dengan Cah, Hijrah, Azmi, dan petani lain dalam mempertahankan
pandangan masing-masing berhubung keputusan jual beli tanah mereka. Penyokong
Hijrah inginkan tanah mereka dipertahankan dan tidak mahu jual manakala
penyokong Haji Zakaria menginginkan tanah mereka dijual melalui pertindihan
pendapat ini mereka menjadi tidak bersatu dalam menyelesaikan masalah.
5.4
PELERAIAN
Pengarang
menggunakan unsur kejutan dalam memaparkan penyelesaian masalah ketegangan yang
melanda pesawah di Kg. Kertau dengan meletakkan watak Derani sebagai pemain
peranan utama dalam mencetuskan muslihat dengan mengalih perhatian para pesawah
dengan mengaturkan satu mesyuarat di bandar dengan memanggil kesemua pemilik
tanah sawah untuk berbincang menyelesaikan masalah tersebut. Pada hari sama
ketika semua persawah ke bandar Derani telah mengarahkan jentera-jentera pergi
ke sawah petani terlibat dengan menyodok tanaman padi mereka akibat daripada
itu tanah sawah yang menjadi lokasi penempatan projek kolam udang berjaya
dilaksanakan kerana tiada penentang dan demonstasi daripada pemilik tanah
berkenaan.
Pengarang
juga bijak meleraikan persoalan tentang perbincangan yang berlaku semasa
Hijrah, Azmi dan pesawah lain ketika mereka menghadiri perjumpaan mesyuarat di
bandar anjuran Derani bersama pihak berkuasa. Keputusan telah di ketahui oleh
Cah semasa dia diziarahi oleh Hijrah di hospital. Melalui Hijrah dan Azmi, Cah
telah diberitahu bahawa pihak berkuasa telah bersetuju membayar ganti rugi kehilangan
pendapatan selama 14 musim sebanyak RM 450 serelung dan pampasan sebanyak RM
40,000 serelung sebagai nilai harga tanah. Cah terpaksa akur dengan
undang-undang tanah yang ditetapkan oleh kerajaan walaupun hati Cah sangat
derita kerana kehilangan tanah warisan keluarganya.
5.5
PUNCAK CERITA (CLIMAX)
Azizi
Haji Abdullah, menunjukkan kepada pembaca mengenai apa yang sanggup dilakukan
oleh Cah dalam mempertahankan sawah bendangnya dan Derani bagi memastikan
penduduk Kampung Kertau menerima tawaran tersebut. Azizi Haji Abdullah
menunjukkan bagaimana harga sebuah maruah, di mana konteks ini dalam novel
merujuk kepada sawah bendang, bagi penduduk Kampung Kertau khususnya Cah,
bernilai.Contoh petikan novel :
“Dalam keadaan meronta-ronta itu Habibah
terlucut pegangan tangan Cah. “Makkkk!” Habibah pula risau.Keadaan benar-benar
menjadi kelam-kabut. Lima enam orang perempuan yang mendukung anak mula berasa
cemas melihat seorang tua berjaya mengumpulkan tenaganya lalu berlari-lari ke
hadapan jentera sambil menjulang-julang parang yang dipegangnya.Polis
antirusuhan menjadi tergamam sesama sendiri tetapi anehnya mereka tidak
melakukan apa-apa, kerana mereka sedar Cah tidak melakukan kekerasan. .( Muka
Surat 365)