Monday, August 12, 2013

Bahaya Pilih Kasih

Perbezaan layanan dan perhatian pastinya amat melukakan hati anak-anak kerana diperlakukan sebegitu oleh ibu bapa sendiri. Meskipun hampir semua ibu bapa menegaskan mereka memberikan kasih sayang yang sama rata kepada anak-anak, hakikatnya keadaan pilih kasih tetap ada.Kebanyakan ibu bapa melakukan kesilapan dengan membezakan kasih sayang berdasarkan kecantikan, kepandaian dan kepintaran, kesempurnaan fizikal dan mental dan pelbagai kelebihan lain yang mungkin tidak ada pada diri anak yang lain. 

Disebabkan itu, anak yang menjadi mangsa perbezaan kasih sayang kebiasaannya:

  • Berasa kehilangan tempat berpaut, tempat perlindungan dan rasa tidak diperlukan lagi dalam keluarga.

  • Sentiasa memendam rasa dan sering menumpukan perhatian kepada kekurangan diri di samping memikirkan sebab yang membuatkan ibu bapa tidak menyayangi mereka. 
  • Mereka akan cuba melakukan sesuatu untuk menarik perhatian ibu bapa tetapi malangnya setiap tindakan dilakukan si anak sering dianggap tidak betul dan menyalahkan mereka sekiranya berlaku sesuatu tidak diingini. 

    Sementara itu, bagi si anak yang mendapat limpahan kasih sayang daripada ibu bapa pula akan merasakan diri mereka lebih istimewa kerana sering dihargai. 

    Oleh itu, ia boleh menimbulkan rasa bangga dan ego, manakala anak yang kurang mendapat kasih sayang akan berasa iri hati, dengki, rendah diri, benci dan dendam terhadap adik-beradik lain termasuk ibu bapa sendiri. 

    Malah permusuhan mungkin akan timbul disebabkan tidak ada penyatuan dan penyesuaian jiwa antara adik-beradik seperti menyakiti sesama sendiri, menyorok atau mengoyakkan buku atau pakaian, menuduh orang lain membuat kesilapan yang dilakukannya atau seumpamanya hingga menimbulkan kemarahan ibu bapa. 

    Kehadiran anak adalah aset yang perlu dijaga sebaik-baiknya dan dididik secara sama rata dan dengan penuh kasih sayang. 

    Sikap adil ditunjukkan ibu bapa akan memberi ruang kepada kehidupan berkeluarga yang lebih harmoni dan dipenuhi dengan rasa hormat menghormati dan saling menyayangi. 
  • No comments:

    Post a Comment